Saturday, January 5, 2013

KONSEP ASAS HALAL DAN HARAM DI DALAM ISLAM

Rasulullah S.A.W. menjelaskan konsep asas HALAL dan haram di dalam Islam dengan sabda Baginda;

Maksudnya:
“Sesungguhnya yang HALAL itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara HALAL dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (sama ada HALAL atau haram). Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. 

Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, maka dikhuatiri binatang-binatang ternakannya akan masuk (dan makan rumput) di dalam kawasan larangan itu. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah segala yang diharamkan olehNya. 

Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada seketul daging. Jika baik baik seketul daging itu, baiklah seluruh jasad dan jika rosak, maka akan rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah! Seketul daging yang aku maksudkan itu ialah HATI”. (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abi Abdillah an-Nu’man bin Basyir r.a.) 

Dari hadis di atas kita dapat mengambil beberapa ketetapan hukum; 

1. Yang HALAL dan yang haram adalah jelas di dalam Islam 
Penetapan HALAL dan haram di dalam Islam adalah terang dan jelas. Setiap butiran yang HALAL dan yang haram terkandung di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah. Oleh demikian, setiap umat Islam wajib merujuk kepada para ulamak yang mengetahui ilmu al-Quran dan as-Sunnah untuk mengetahui apa yang HALAL dan apa yang haram. Lebih utama untuk melakukan rujukan tersebut ialah para pengeluar dan para peniaga kerana kesilapan mereka akan turut membabitkan orang lain dalam menikmati makanan atau barangan yang haram atau tidak HALAL. 

Panduan mengenali makanan dan barangan HALAL 

Menurut ulamak, HALAL atau tidaknya suatu makanan dan barangan itu bergantung kepada 2 faktor; 
  • Zat makanan dan barangan itu sendiri; hendaklah tidak tergolong dalam perkara yang disenarai-haramkan oleh Syarak. 
  • Cara pemerolehan makanan dan barangan tersebut. Sekalipun zat suatu barang itu HALAL, namun jika diperolehi dengan jalan riba, penipuan dan sebagainya, maka ia adalah haram di sisi Syarak. 
Lebih terperinci, semua makanan dan barangan yang hendak diisytiharkan HALAL hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut; 
  • Ia tidak mendatangkan mudarat kepada akal dan badan. 
  • Ia bebas dari najis 
  • Ia bukan produk yang diperolehi dari sumber babi atau anjing. 
  • Bagi produk yang diperolehi dari sumber binatang-binatang lain yang HALAL dimakan (khususnya binatang darat) hendaklah dipastikan ianya disembelih mengikut hukum Syarak. 
  • Ia diperolehi melalui sumber yang diharuskan. 
Oleh demikian, dalam pengeluaran barang-barang HALAL, para pengeluar hendaklah memastikan bahan mentah dan ramuan yang digunakan hendaklah HALAL. Binatang yang HALAL untuk dimakan seperti lembu, kambing dan sebagainya mestilah disembelih mengikut hukum Islam, di mana penyembelihannya itu dilakukan oleh orang Islam dengan memetuhi syarat-syarat penyembelihan yang ditetapkan. Bahan ramuan HALAL tidak boleh bercampur atau menyentuh bahan-bahan haram seperti produk daripada sumber babi atau anjing sewaktu menyimpan, mengangkut, memasak dan menghidangkannya. 

Pada tahun 2001 umat Islam di Malaysia dan Indonesia digemparkan dengan berita mengenai enzim babi digunakan dalam pengeluaran bahan penambah perisa MSG. Bahan yang menimbulkan kontroversi itu ialah Bactosoytone iaitu nutrien yang digunakan untuk membiakkan bakteria yang akan digunakan sebagai medium pembiakan ibu dalam proses penapaian. Bactosoytone dihasilkan apabila protein soya diuraikan oleh enzim yang diekstrakkan daripada pankreas babi. Oleh itu, penggunaan Bactosoytone dalam pengeluaran MSG adalah haram kerana ia dihasilkan daripada sumber yang haram. 

2. Jauhi yang syubhat 
Di persimpangan antara yang HALAL dan yang haram tersebut terdapat yang samar-samar yang belum dipasti statusnya; apakah ianya HALAL atau haram, iaitulah perkara-perkara syubhat. Perkara syubhat ialah perkara yang diragui HALAL-haramnya. Langkah terbaik menurut Rasulullah ialah dengan meninggalkannya. 

Rasulullah S.A.W. menegaskan dalam hadis di atas; “…sesiapa menjaga dirinya dari segala yang syubhah itu, maka sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatan dirinya. Dan sesiapa terjatuh dalam perkara syubhah, kemungkinan ia terjatuh ke dalam yang haram…”

Sebagai contoh; penggunaan gelatin. Gelatin dihasilkan daripada kulit dan urat binatang seperti babi dan lembu. Namun sekalipun gelatin diperolehi daripada lembu, ini tidak bermakna ianya HALAL kerana kita tidak tahu sama ada lembu tersebut telah disembelih mengikut hukum Islam atau tidak. Di banyak negara bukan Islam, hanya terdapat segelintir rumah sembelihan yang memenuhi keperluan orang Islam. Tambahan pula, kebanyakan makanan bergelatin tidak menyatakan sama ada gelatin yang digunakan itu diperolehi dari sumber babi atau lembu. Jadi, gelatin secara umumnya termasuk dalam perkara syubhat. Oleh demikian, penggunakan bahan bergelatin perlu dielakkan oleh umat Islam kecuali yang benar-benar jelas pengesahan HALALnya oleh pihak yang dapat dipercayai. 

3. Kaitan penjagaan HALAL dan haram dengan hati 
Dihujung hadis, Rasulullah menyebutkan tentang hati dan pengaruhnya terhadap perlakuan manusia sama ada baik atau buruk. Apa kaitan hati dengan konsep HALAL dan haram yang disebut di awal hadis? Persoalan ini dapat dijelas dengan dua tafsiran; 

Pertama; Kesedaran untuk menjaga HALAL dan haram bergantung kepada hati. Hanya orang yang memiliki hati bertakwa dan takutkan Allah akan memerhati makanan atau barangan yang digunanya; apakah HALAL atau haram? Adapun orang yang fasik dan memiliki hati kotor, baginya tidak penting sama ada rezki yang dinikmatinya HALAL atau tidak. Yang penting adalah memenuhi selera dan nafsunya. 

Kedua; Bersih dan sucinya hati berkait dengan makanan dan penggunaan barangan yang HALAL. Jika seseorang itu sentiasa melazimi yang HALAL, akan terjagalah hatinya. Akan tetapi jika ia mula terlibat dengan yang haram, akan kotor dan rusaklah hatinya. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...