Friday, January 4, 2013

MAKANAN HALAL DAN PENSYARIATANNYA

Umat Islam perlu kepada makanan yang halal. Halal bermaksud penggunaan sesuatu makanan atau barangan yang tidak mengandungi perkara-perkara yang ditegah oleh syarak seperti khinzir, anjing, arak dan sebagainya. Ia juga mestilah diperoleh daripada sumber rezeki yang halal. Makanan yang halal mestilah baik daripada segala segi kerana sifat bagi sesuatu yang halal itu adalah baik. 

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; Kerana Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu" (Surah al-Baqarah, 2:168). 

Bagi menghuraikan maksud halalan toyyiba dalam ayat di atas, Jalaluddin Muhammad dalam Kitab Tafsir al-Jalalain, menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah di fahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga baik daripada pelbagai segi sama ada bahan campurannya, bersih dalam proses penyediaan dan dapat memberi manfaat kepada tubuh badan manusia. 

Selain itu, pensyariatan pemilihan makanan yang halal juga adalah jelas di nyatakan oleh Allah S.W.T. Terdapat banyak dalil yang menyebut berkaitan dengan hal ini, antaranya ialah: 

"Hai orang-orang yang beriman, makanlah diantara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah" (Surah al-Baqarah, 2:172). 

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya" (Surah al-Maidah, 5:87-88).
Sumber: KOEDAR 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...