Thursday, May 9, 2013

Amalan Perniagaan Dalam Islam

Al Quran telah menyebutkan mengenai matlamat hidup manusia iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT (Surah az-Zaariat, ayat 56). 

Justeru tujuan manusia dihidupkan di dunia adalah untuk beribadat kepada Allah SWT, tetapi jangan menyempitkan makna ibadat tersebut. Ibadat bukan sahaja bermakna mengerjakan puasa, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan haji atau sebagainya, tetapi ibadat sebagaimana yang dimaksudkan di dalam ayat yang di atas adalah ibadat am sebagaimana yang telah didefinisikan oleh para ulamak iaitu ibadat yang meliputi segala bentuk aktiviti, asal saja mengharapkan keredhaan, kasih sayang dan rahmat Allah SWT sama ada di dalam bentuk perbuatan atau ucapan yang zahir atau yang batin; kesemuanya itu adalah ibadat kepada Allah SWT. 

Sebagai manusia, sudah pasti kita tidak dapat memisahkan diri daripada kegiatan-kegiatan muamalat khasnya dalam bidang perniagaan (tijarah). Manusia amat memerlukan hal yang sedemikian, malah Allah SWT menyuruh supaya manusia menceburi bidang perniagaan. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah an-Nisa', ayat 29 maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu"

Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan"(Hadis Riwayat Tirmizi)

Oleh yang demikian, sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih di dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah bersabda maksudnya: 
"Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) beserta dengan para nabi, siddiqin dan para syuhada"(Hadis Riwayat Tirmizi). 

Bagaimanapun, tijarah yang dimaksudkan adalah yang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak, yang juga disertai dengan sifat benar dan amanah. Sifat-sifat sedemikian adalah merupakan ciri-ciri yang akan menempatkan mereka bersama-sama dengan para nabi dan rasul. 

Rasulullah SAW telah menghalang orang yang melakukan jual beli daripada bersumpah dan mengatakan sesuatu yang tidak benar. Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
"Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya" (Hadis Riwayat Bukhari). 

Di samping itu para peniaga hendaklah sentiasa bersedia memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Mereka perlu ingat bahawa tujuan perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi juga terselit konsep memberi kemudahan dan membantu pihak lain, khasnya pengguna. 

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang susah, mahupun dilangsaikan hutang tersebut, Allah SWT akan memayungkannya di hari kiamat di bawah bayangan arashNya"(Hadis Riwayat Kaab bin Umar).

Bagi peniaga Muslim inilah peluang yang boleh direbut kerana sesiapa yang memberi hutang dan melanjutkan tempoh bayaran balik hutang tersebut, Allah SWT telah berjanji akan memberinya bayangan arasy di akhirat kelak. Ini menunjukkan peluang untuk mendapat keredhaan Allah SWT melalui perniagaan. 

Islam juga menyuruh manusia berlaku adil dalam perniagaan di samping memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Ini bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam, seperti dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Seseorang Muslim itu adalah bersaudara kepada seorang Muslim yang lain" (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Baginda Rasulullah SAW telah diriwayatkan sebagai seorang ahli perniagaan yang sentiasa memberi senyuman kepada pelanggan dan meletakkan harga jualan yang sama kepada semua pelanggan yang hendak membeli barangan yang sama. Keistimewaan yang dimiliki Baginda ini membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa laris dan mendapat keuntungan yang besar. Perkara ini telah diakui oleh pekerja Saidatina Khadijah iaitu Maisarah. 

Islam melarang umatnya daripada melakukan "monopoli" dan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan"(Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi & Muslim)

Unsur-unsur tipu daya atau helah juga patut dielakkan oleh peniaga, ini kerana ia boleh menghilangkan keberkatan di dalam perniagaan. Rasulullah SAW telah bersabda yang berbunyi: "Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami" (Hadis Riwayat Muslim). Hadis ini timbul daripada satu peristiwa yang berlaku di sebuah pasar di zaman Rasulullah SAW, di mana Baginda telah mendapati seorang peniaga telah melakukan penipuan dengan meletakkan gandum yang basah di bahagian sebelah bawah dan gandum yang kering di bahagian atasnya. 

Pengguna perlu dilindungi daripada ditipu oleh peniaga melalui kadar sukatan dan timbangan. Perkara ini telah ditegaskan di dalam Al-Quran dalam Surah al-Isra' ayat 35. Allah akan mencela mereka yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli (Surah al-Mutaffifin ayat 1-6). Ibrahim Adham, seorang ulamak tasawuf yang terkenal mengingatkan bahawa ["syaitan akan menggoda seseorang manusia yang berniaga melalui beberapa cara; di antaranya ialah melalui timbangan atau mizan, dan juga semasa peniaga tersebut mengambil dan memberi barangan kepada pelanggan"]. 

Amalan riba juga perlu dijauhi kerana riba tergolong di dalam dosa-dosa besar (Surah al-Baqarah ayat 275). Ini ketara dalam amalan perniagaan biasa di mana pinjaman wang diberikan dengan dikenakan faedah yang ditetapkan. Islam juga melarang elemen gharar bila berniaga. Gharar ialah sesuatu yang tidak pasti, tidak tentu dan tidak jelas. Contohnya menjual ikan semasa ikan masih di laut, menjual burung yang belum ditembak atau memajak buah semasa ia masih berputik atau berbunga. Ia dianggap sebagai judi dan judi itu adalah haram. 

Akhir sekali, melalui akhlak yang mulia dan pergaulan yang baik, peniaga Islam boleh menggunakan kesempatan itu untuk berdakwah kepada mereka yang selalu mendampinginya. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa sesetengah dakwah Islamiah yang telah bertapak kukuh di rantau ini adalah hasil dari usaha golongan saudagar Islam.



Sumber: IKIM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...